17 September 2012

Hayati ungguli kategori Melayu

Wan Norhayati Wan Alias menerima Anugerah Wartawan Terbaik (Bahasa Melayu) NPC 2012 yang disampaikan oleh Najib Tun Razak pada Majlis Anugerah Kelab Wartawan Kebangsaan (NPC) 2012 di Hotel JW Marriot di Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan Datuk Ahirudin Attan (kiri). 
*****
KUALA LUMPUR 12 Sept. - Wartawan Utusan Malaysia, Wan Noor Hayati Wan Alias berjaya menggondol anugerah Wartawan Terbaik kategori Medium Melayu pada Anugerah Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC) di sini malam ini.
Anugerah itu disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Dengan kemenangan itu, Wan Noor Hayati yang merupakan wartawan Meja Jenayah membawa pulang trofi, pakej percutian ke Korea Selatan dan wang tunai sebanyak RM10,000.
Menurutnya, anugerah itu merupakan kemenangan bersama dan hasil kerja berpasukan wartawan di Utusan Malaysia terutamanya di Meja Jenayah yang sentiasa berusaha melaporkan berita terbaik.
"Saya bukan bekerja sendiri. Ini hasil kerjasama semua pihak yang terbabit secara moral dan fizikal, dan inilah hasil daripada peluang serta kepercayaan yang diberikan kepada saya.
"Perjuangan saya dalam bidang ini baru bermula kerana ia adalah jiwa saya," katanya.
Sebanyak 15 kategori dipertandingkan menerusi anugerah itu antaranya Fotografi Terbaik; Wartawan Muda Celcom; Personaliti Media Terbaik; Organisasi Media Terbaik dan Wartawan Tahunan.
Dalam pada itu, Wan Noor Hayati menambah, kejayaan tersebut juga adalah permulaan kepada perjalanannya dalam bidang kewartawanan yang masih jauh.
"Saya merakamkan penghargaan kepada Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak, warga Utusan, keluarga dan paling utama ayah angkat saya, Abdul Hamid Yeop Zainuddin yang banyak memberi nasihat agar saya menjadi wartawan yang lebih baik," katanya.
"Saya merupakan wakil kecil Utusan Malaysia dan melihat akhbar ini sebagai medium berita utama sejak dahulu dan selamanya. Terima kasih kerana memberi kepercayaan dan peluang kepada saya menerokai dunia kewartawanan," ujarnya.
/hwa: utusan.com.my | 13/9/12

Tiada ulasan: